Call Us +60163370696
PUNCA SAKIT URAT SARAF YANG ANDA TIDAK KETAHUI

PUNCA SAKIT URAT SARAF YANG ANDA TIDAK KETAHUI

Sistem urat saraf di dalam badan manusia merupakan salah satu sistem yang penting dan kompleks, sarat dengan fungsi tertentu. Melalui urat saraf, anda dapat berinteraksi dengan dunia luar melalui lima deria. Ia juga mengawal pergerakan, keseimbangan dan koordinasi badan anda. Selain dari itu, sistem saraf juga mengawal tindakan kebanyakan sistem badan yang lain seperti peredaran darah dan tekanan darah anda. Tambahan lagi, ia juga mengawal keupayaan anda untuk berfikir dan membuat keputusan. Sistem saraf membolehkan anda menjadi sedar dan mempunyai pemikiran, pengalaman serta kebolehan untuk bertutur. Secara umumnya, sistem saraf terbahagi kepada dua iaitu sistem saraf pusat (otak dan saraf tunjang) dan sistem saraf periferal (seluruh badan). Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan sakit urat saraf. Sakit urat saraf boleh berlaku secara perlahan dan menyebabkan kehilangan fungsi anggota badan secara beransur, atau secara tiba-tiba dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Berpandukan artikel oleh Michigan Medicine, mari kita kupas serba sedikit mengenai punca sakit urat saraf yang jarang kita ketahui.

 

Penyakit autoimun

Penyakit autoimun merujuk kepada keadaan di mana sel dalam badan menyerang badan sendiri. Serangan sel ini boleh menyebabkan kerosakan pada saraf lalu mengakibatkan sakit saraf. Antara penyakit autoimun adalah seperti Guillain-Barre syndrome dan Sjogren’s syndrome.

 

Pengambilan alkohol dan dadah

Pengambilan alkohol boleh menyumbang kepada tabiat diet yang buruk dan menyebabkan kekurangan zat dan vitamin. Pengambilan alkohol yang berlebihan serta penagihan dadah juga boleh mengakibatkan kerosakan urat saraf. Ia berlaku apabila urat saraf gagal untuk berinteraksi dan menyampaikan maklumat kepada otak.

 

Diabetes

Tahap gula yang tinggi dalam tubuh boleh menyebabkan sakit urat saraf. Ramai orang yang menghidapi diabetes mengalami sakit urat saraf yang sama.

 

Terdedah pada racun

Sakit urat saraf boleh berlaku jika anda terdedah pada bahan toksik termasuk logam berat atau bahan kimia. Kesan radiasi boleh mengganggu keseimbangan badan lalu menyebabkan kerosakan pada sistem saraf.

 

Pengambilan ubat

Terdapat ubat yang mempunyai kesan sampingan dan menyebabkan sakit urat saraf. Sebagai contoh, ubat yang digunakan untuk merawat kanser boleh mengakibatkan kerosakan pada urat saraf. Anda boleh berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

 

Jangkitan kuman dan virus

Terdapat beberapa jenis jangkitan kuman dan virus yang boleh menyebabkan kerosakan urat saraf. Antaranya seperti penyakit Lyme, virus Epstein-Barr, hepatitis C, kusta, diphtheria dan virus immunodeficiency manusia (HIV).

 

Kesan trauma

Kesan trauma dari kemalangan jalanraya, kecederaan ketika bersukan atau pernah jatuh, juga boleh menyebabkan kerosakan pada urat saraf. Selain itu, tekanan pada saraf juga boleh berlaku kesan dari penggunaan tongkat atau mengulang pergerakan yang sama seperti menaip.

 

Tumor

Tumor atau ketumbuhan samada mengandungi sel kanser atau tidak, tumor boleh berkembang di atas urat saraf dan menekan urat saraf. Oleh itu, ia boleh menyebabkan urat saraf rosak dan menjadi punca sakit urat saraf. Malahan, sakit urat saraf boleh berlaku akibat beberapa jenis kanser yang berkait rapat dengan tindak balas imun tubuh.

 

Kekurangan vitamin

Vitamin E dan vitamin B, termasuk vitamin B-1, B-6 dan B-12, adalah penting untuk memastikan kesihatan urat saraf. Kekurangan vitamin boleh mengganggu sistem saraf badan anda. Ia boleh menyebabkan badan kurang menghasilkan sel darah merah lalu memberi kesan pada pengaliran saraf di seluruh tubuh badan.

test - f
0
Wishlist 0
Open wishlist page Continue shopping