Sakit lutut boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Biasaanya terjadi apabila seseorang itu mengalami rasa sakit atau sengal pada bahagian lutut. Apabila sakit lutut menyerang, ia boleh menyebabkan kepedihan yang tidak dapat dibayangkan. Anda boleh bayangkan muka orang yang sedang mengerang sakit lutut menahan sakit ketika naik tangga atau sedang berjalan bersama anak-anak di taman. Bagaimana sakit lutut terjadi? Di dalam post ini, akan mengetahui lebih lanjut tentang punca terjadinya sakit lutut:

 

Berat badan yang berlebihan

Individu yang tergolong dalam obesiti adalah individu yang kerap mengalami sakit lutut. Mereka ini lebih cenderung untuk mendapat sakit lutut berbanding individu yang normal. Ini kerana sendi sendi lutut harus menampung berat badan yang berlebihan dari yang sepatutnya. Keadaan yang berterusan menyebabkan sendi-sendi memikul bebanan yang berlebihan sehingga menyebabkan sakit lutut terjadi. Pesakit dinasihatkan untuk menjaga pemakanan dan buat senaman ringan.

 

Aktiviti harian

Aktiviti harian seseorang juga memainkan peranan untuk mendapat sakit lutut. Individu yang bergerak banyak dan mengangkat benda berat seringkali mengadu sakit pada lutut terutama apabila usia mencecah 40-an. Keadaan ini menyebabkan kekoyakan pada bahagian ligamen dan lutut kehabisan pelincir. Semakin banyak pergerakan, semakin banyak pelincir yang digunakan. Akibat kehabisan pelincir, sendi-sendi lutut tidak dapat bekerja dengan lancar seterusnya menyebabkan seseorang itu merasai sakit sendi lutut.

 

Osteoarthritis

Penyakit osteoarthritis atau radang lutut adalah berpunca daripada penipisan lapisan tulang rawan pada bahagian lutut. Tulang rawan mempunyai fungsi untuk menyerap hentakan dan memudahkan pergerakan di antara tulang peha dan tulang betis. Penipisan tulang rawan akan menyebabkan keradangan dan kekurangan cecair pelincir pada lutut. Masalah ini sering dialami oleh perempuan berbanding lelaki oleh kerana saiz tulang pinggul perempuan yang lebih lebar berbanding lelaki. Golongan berumur juga tidak ketinggalan mengalami radang lutut.

 

Masalah tempurung lutut

Tempurung lutut melindungi bahagian penting pada lutut, namun ada sesetengah individu mengalami masalah tempurung lutut yang terkehel dari tempat asal. Ini mungkin berlaku akibat dari kecederaan akibat kemalangan atau terjatuh. Rentetan dari itu, tempurung lutut terkeluar dari tempat asal yang menyebabkan rasa bengkak dan sakit pada lutut. Pesakit disaran untuk mendapatkan rawatan doktor.

 

Kecederaan akibat bersukan

Sakit pada lutut ketika bersukan atau aktiviti lasak boleh menyebabkan tisu pada tulang rawan mengalami kecederaan atau koyakan. Kesan kecederaan ini menyebabkan rasa sengal dan ngilu. Individu yang pernah menjalani pembedahan bagi membaikpulih tisu lutut juga berisiko untuk mengalami kesakitan pada lutut hasil daripada kecederaan yang lalu. Jika anda mempunyai sejarah kecederaan lutut, anda perlu mengurangkan aktiviti-aktiviti berat harian untuk mengelakkan kesakitan yang sama berulang.

 

Baker’s cyst

Baker’s cyst adalah keadaan di mana terdapat benjolan cecair di bahagian belakang lutut. Benjolan ini akan menyebabkan seseorang merasa tidak selesa dan sakit pada bahagian lutut apabila melakukan rengangan kaki. Perkara ini terjadi apabila cecair pelincir yang diperlukan untuk menggerakkan bahagian tendon dihasilkan secara berlebihan. Pesakit perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami simptom ‘Baker’s cyst’ ini.

 

Demikian adalah punca-punca yang boleh menyebabkan seseorang merasa sakit lutut. Cara terbaik untuk seseorang yang mengalami sakit lutut yang teruk adalah terus mendapatkan rawatan doktor di hospital. Masalah ini tidak boleh dibiarkan berterusan, melainkan anda mengalami sakit lutut biasa yang boleh dikurangkan dengan mengambil supplemen sakit lutut.